PETALING JAYA – Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melancarkan modul bagi membina keupayaan menangani kesan perubahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh EY Malaysia, lebih 90 peratus syarikat mendapati bahawa cuaca melampau adalah risiko kepada perniagaan.
“Dianggarkan bahawa potensi kesan kewangan untuk risiko yang berkaitan dengan iklim Amerika Syarikat adalah sebanyak $250 bilion (RM1.014 trilion), ia melibatkan kemerosotan atau penghapusan aset hasil dari kesan peralihan dan fizikal.
“Sektor kewangan adalah sangat penting bagi mengimbangi antara tiga aspek iaitu keperluan manusia, bumi dan keuntungan. Cara menangani cabaran juga penting bagi memastikan kelestarian ekosistem yang akan membawa manfaat berterusan kepada faedah biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, IBFIM sebagai ahli Pemerhati Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan modul Tahap 1 yang dibangunkan Ernst & Young dengan kerjasama JC3 dan dibiayai kerajaan United Kingdom di bawah Program Tenaga Karbon Rendah (LCEP).
“JC3 yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bertujuan mengambil tindakan kolaboratif bagi membina keupayaan menangani perubahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
“Modul tahap 1 tersebut dapat dilayari secara percuma melalui laman web IBFIM, https://ibfimonline.com dan ia dijangka dapat memberikan pengetahuan serta pemahaman yang lebih mendalam mengenai risiko kewangan berkaitan perubahan iklim,” ujarnya.
Jelasnya, di dalam mendukung mandat pembangunan kapasiti, IBFIM sebagai ahli ‘United Nations Sustainable Development Solutions Network’ (SDSN) Malaysia, sentiasa komited bagi memperkukuhkan pengetahuan masyarakat untuk mengelola risiko berkaitan iklim dan penghijauan sektor kewangan.
“Ini dilakukan dengan menyediakan landasan pembelajaran yang sesuai bagi mereka memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam bagi mengurus risiko tersebut.
“Di dalam menyokong usaha JC3 bagi pembangunan kapasiti, IBFIM yakin bahawa landasan pembelajaran yang dapat dilayari secara jarak jauh itu dapat meningkatkan lagi kesedaran semua golongan masyarakat tentang risiko perubahan iklim dan kesan terhadap sektor kewangan,” katanya. -K!ONLINE