BARCELONA – Barcelona menunjukkan kebangkitan sebenar apabila memastikan tempat ke perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol selepas menyingkirkan Sevilla.
The Catalans mara ke pentas final apabila menang 3-2 secara agregat pada saingan separuh akhir selepas menewaskan Sevilla 3-0 pada aksi timbal balik di Camp Nou awal pagi semalam.
Ousmane Dembele, Gerard Pique dan Martin Braithwaite menjadi wira pasukan itu apabila masing-masing meledak satu gol bagi membawa Barcelona ke perlawanan akhir.
Jurulatih Barcelona, Ronald Koeman memuji barisan pemainnya selain percaya mereka berhak untuk mara ke final berdasarkan aksi yang ditampilkan dalam kedua-dua perlawanan.
“Kami berhak untuk menang kerana sudah bermain sangat baik dalam dua perlawanan itu. Saya sangat puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain.
“Tahniah kepada pemain kerana menunjukkan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi. Kami cipta banyak peluang dan saya gembira kerana ia tidak dipersiakan,” ujar bekas pengurus Everton itu.
Sementara itu, beliau turut memuji Sevilla kerana tidak menampilkan aksi bertahan pada perlawanan tersebut biarpun sudah memiliki kelebihan dua gol sebelum ini. – AGENSI