Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN – Musibah banjir baru-baru ini menyebabkan bangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di negeri ini semakin uzur sehingga ada struktur bangunan yang telah dimakan anai-anai.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sehubungan itu pihaknya akan menyalurkan peruntukan segera berdasarkan kemampuan yang ada bagi membaik pulih premis terbabit.
“Berdasarkan lawatan prihatin saya ke beberapa buah premis di Maran dan Temerloh yang dilanda banjir mendapati bangunannya perlu dibaiki pulih, dicat baharu dan ditambah sudut keceriaan.
“Ada bangunan Tabika Kemas yang dimakan anai-anai kerana dilanda banjir sekali gus perlu dibaiki pulih segera kerana membabitkan struktur bangunan,” katanya ketika program penyerahan bantuan banjir Kemas Daerah Maran dan Temerloh di sini, hari ini.
Jelasnya, pihaknya telah mengarahkan Pengarah Kemas negeri mengenal pasti dan menyenaraikan Tabika Kemas yang rosak teruk termasuk yang dimakan anai-anai.
Katanya, peruntukan yang sesuai akan disalurkan kepada premis tabika terbabit mengikut kemampuan kewangan yang ada bagi membolehkan operasi tabika Kemas berjalan lancar.
“Selain memberi tumpuan memulihkan premis tabika, pihak kementerian turut menyantuni warga Kemas yang terlibat dengan musibah banjir,” katanya. -K!ONLINE