KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin Sahak resah menjelang perlawanan pembukaan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim apabila dua pemain utama tidak dapat diturunkan.
Aidil Shahrin berkata, tonggak pertahanan tengah skuad Helang Merah, Renan Alves belum cergas 100 peratus, manakala Md. Ariff Farhan Md. Isa masih belum pulih daripada kecederaan.
Katanya, perkara itu bukan baharu dalam sukan bola sepak dan beliau perlu mencari alternatif lain bagi memastikan pasukan dapat memberi tentangan buat kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.
“Perkara ini sentiasa berlaku di mana pemain utama tidak dapat diturunkan bagi perlawanan penting seperti ini. Apa yang penting ialah kami perlu mencari kesebelasan yang terbaik pada pertemuan esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ditanya mengenai kemungkinan bekas penyerang Kedah, Fernando Rodriguez diturunkan pada perlawanan tersebut, Aidil Shahrin memberitahu, perkara itu turut akan menjadi perhatiannya.
Katanya, dia mengenali pemain itu serta tahu kemampuannya di atas padang, malah bersedia untuk mengekangnya jika penyerang kelahiran Brazil itu diturunkan.
“Bukan dia seorang sahaja yang perlu diberikan tumpuan sebaliknya keseluruhan pasukan kerana mereka dibarisi pemain-pemain handal yang mampu memberi tentangan sengit,” katanya.