BATU PAHAT – Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Sengkuang, Sri Gading di sini gigih membina rumah dihajati walaupun perlu mengangkut bahan binaan sejauh 800 meter seorang diri sejak Ogos tahun lalu.
Abdul Aziz Ahmad, 69, berkata, dia mengangkut batu blok, simen, pasir dan kayu menggunakan kereta sorong melalui kawasan tanah yang berlecak ketika hujan.
Katanya, dia membina kediaman itu bagi memudahkannya memantau kebun sayuran diusahakannya yang terletak sebelah dengan tapak rumah yang dibina di tanah warisan keluarga itu.
“Isteri saya meninggal dunia 10 tahun lalu dan di sini saya usahakan kebun sayur kacang panjang dan terung selain itu saya juga bekerja sebagai penggali kubur serta tukang rumah.
“Saya tinggal di rumah ini bersama dengan seorang anak angkat lelaki berusia 17 tahun. Saya sudah biasa kerja sebagai tukang rumah dan tidak kekok melakukannya seorang diri.
“Setakat ini saya sudah membelanjakan RM3,500 bagi kos membeli barang dan alhamdulillah rakan-rakan ada datang memberi semangat dan sumbangan wang ringgit serta tenaga untuk membuat rumah ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sengkuang baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sri Gading, Datuk Mohd. Najib Samuri berkata, pihaknya kagum dengan semangat Abdul Aziz dan terpanggil untuk sama-sama bergotong-royong menyiapkan rumah berkenaan dan berharap dapat disiapkan menjelang Aidilfitri nanti.
“Ramadan pun sudah dekat dan dengan sedikit bantuan wang ringgit dan tenaga daripada Persatuan Kebajikan Makmur Negeri Johor Cawangan Sri Gading selain belia kampung ini, kami berharap pak Aziz dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti dengan kediaman lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, Syazreen Sulaiman, 31, mewakili penduduk kampung berkata, menafikan laporan tular mengenai nasib warga emas itu yang tidak terbela sebelum ini dan terpaksa tidur beralaskan tanah sejak tujuh bulan lalu.
“Mustahil kami tidak tahu dan hendak biarkan saja pak Aziz hidup daif sedangkan isu sebenarnya adalah, beliau mahu bina rumah sendiri,” jelasnya.
Katanya, orang kampung tidak membiarkan warga emas itu sebaliknya membantu apa termampu.