PETALING JAYA – Tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam menidakkan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuatkuasa seolah mencabar pandangan dan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu turut menghina institusi Raja Berpelembagaan dan pihaknya memohon ampun sekiranya kenyataan Menteri tersebut menyinggung hati baginda.
Menurut beliau, BN turut mengesyorkan semua ahli Dewan Rakyatnya menyeru Perdana Menteri serta jemaah menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan.
“Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang.
“BN dengan rendah diri merayu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera menggunakan kuasa wewenang Baginda di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda pada 24 Februari yang telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Ujarnya, BN menyambut baik titah itu yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan.
“BN sentiasa berpegang bahawa, nasihat Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak Covid-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu memastikan hak suara rakyat di Parlimen tidak diabaikan.
“Sekiranya diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda, saya sedia menjunjung titah Duli Tuanku untuk mengadap bagi menyampaikan pandangan berkenaan pertumbuhan sosio ekonomi negara terutamanya rakyat miskin,” ujarnya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Penghargaan sama juga saya zahirkan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak Covid-19. – K! ONLINE