fbpx

Tapak pelupusan sampah terbakar, penduduk sengsara bernafas dalam asap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Tumpat yang terbakar sejak dua minggu lalu sehingga mengakibatkan penduduk sekitar terpaksa berpindah.

TUMPAT – Penduduk di sekitar Kok Bedullah di sini sengsara apabila mereka terpaksa menghidu asap tebal yang berpunca daripada kebakaran tapak pelupusan sampah seluas kira-kira lapan hektar sejak dua minggu lalu.

Susulan daripada kejadian itu, 90 penduduk daripada 20 keluarga yang tinggal dalam radius 200 meter dari tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Tumpat (MDT) itu terpaksa mengosongkan rumah masing-masing dan ditempatkan di Resort Pantai Sri Tujuh di sini.

Difahamkan, setakat pukul 5 petang ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dibantu pelbagai agensi dan pasukan keselamatan lain masih bertungkus-lumus berusaha memadamkan kebakaran tersebut.

Agensi terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Amal Malaysia serta pihak MDT sendiri.

Yang Dipertua MDT, Rusydee Abdullah berkata, kejadian berlaku pada 19 Februari lalu dan operasi memadamkan kebakaran semakin berhasil apabila api semakin berkurangan dan hanya tertumpu di titik-titik yang berselerak sahaja.

“Kebakaran itu menyebabkan asap tebal yang mengganggu kehidupan harian masyarakat sekitar.

“MDT menerima banyak aduan daripada penduduk dan kita juga mendapat makluman oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sentiasa memantau perkembangan usaha pemadaman api yang kita dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, asap tebal itu sukar dikawal kerana bahan yang terbakar sebahagian besarnya adalah sisa plastik yang telah mendap jauh ke dalam tanah di samping cuaca panas serta kemarau yang sedang melanda negeri ini.

Sementara itu BBP Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisansahseni Raja Semail ketika dihubungi berkata, operasi pemadaman bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang setiap hari dan dibahagi kepada lima zon.

“Setakat ini kita masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian manusia dan cuaca panas ketika musim kemarau sekarang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI