SEREMBAN – Kegiatan sebuah sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah resort sebagai stor penyimpanan dadah dengan nilai keseluruhan RM932,288 terbongkar dengan penahanan enam suspek dalam serbuan di Port Dickson dan Melaka awal bulan ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua suspek lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.
“Pihak polis berjaya membongkar kegiatan sindiket ini dengan penahanan suspek pertama warga tempatan yang menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen ketika anggota polis melakukan penugasan ronda cegah jenayah Op Covid-19 di Jalan SUA Betong Air Kuning Linggi, Port Dickson pada 28 Februari 2021.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis berjaya merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 801 gram dan suspek positif dadah jenis syabu,” katanya pada sidang khabar di sini hari ini.
Menurut Mohamad, susulan tangkapan tersebut pihak polis telah menyerbu sebuah resort di Port Dickson pada 1 Mac lalu dan menahan dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan teman wanitanya yang merupakan seorang perempuan warga Vietnam.
“Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka juga positif dadah jenis syabu.
Jelas Mohamad, sindiket tersebut dikesan menggunakan modus operandi dengan
menjadikan resort di Port Dickson itu sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di kawasan Negeri Sembilan dan Selatan Negara.
“Sindiket dadah ini dipercayai telah menyewa sebuah servis apartment di resort tersebut dan aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu.
“Pemeriksaan mendapati sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dadah jenis syabu di dalam bungkusan teh cina,” katanya lagi.
Beliau berkata, dalam serbuan itu pelbagai jenis dadah bernilai RM866,408 telah dirampas termasuk dadah jenis syabu dianggarkan seberat 23.2 kilogram, ketamin 20 gram dan masing- masing eramin 5 dan ekstasi seberat 1 gram.-K! ONLINE