fbpx

Shin-hye dirindui, CGI dicemuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARK SHIN-HYE

SELEPAS ‘mendunia’ dengan karya fenomena Alive dan The Call, Park Shin-hye sekali lagi menjadi tumpuan menerusi naskhah Sisyphus: The Myth yang menemui peminat sejak 17 Februari lalu.

Sisyphus dibintangi dua nama besar dalam industri lakonan Korea Selatan iaitu Cho Seung-woo sebagai Han Tae-sool dan si jelita Shin-hye yang memegang watak Kang Seo-hae.

Naskhah adaptasi daripada kisah mitos Greek berkenaan mengisahkan seorang raja angkuh bernama Sisyphus yang mengelak daripada kematian sebanyak dua kali.

Sebagai balasan, dia dihukum melakukan kerja sia-sia memikul batu besar di belakang badannya naik ke puncak gunung berulang kali, namun akhirnya batu tersebut jatuh semula ke bawah.

Analogi daripada karya arahan sutradara Jin-hyuk tersebut, Seo-hae dan Tae-sool terpaksa mencuba lebih daripada sekali untuk mengubah masa depan demi mengekang kejadian buruk.

Menerusi episod pertama tayangan drama berkenaan, peminat disajikan dengan babak aksi tanpa henti, selain timbul spekulasi tentang sebuah foto perkahwinan antara Tae-sool dan Seo-hae.

Berbicara tentang wataknya dalam naskhah berkenaan, Shin-hye menyifatkan Seo-hae bukanlah seorang wanita yang ramah.

Hatinya dipenuhi keazaman untuk meneruskan hidup dalam dunia masa depan yang penuh pancaroba dan cacamarba.

“Apa yang dilakukannya setiap hari ialah memegang senjata sebelum perlahan-lahan dirinya belajar untuk bergaul dengan masyarakat.

“Tetapi sikap tersebut sebenarnya menonjolkan kejujuran dan kenaifan keperibadiannya. Penonton dapat melihat sisi sebenar saya yang berbeza menerusi Seo-hae,” ujarnya.

BERBANDING dua filem thrillernya sebelum ini iaitu Alive dan The Call yang menuai pujian peminat, nampaknya drama Sisyphus meninggalkan impak berbeza terhadap karier lakonan Shin-hye.

Tiada sesalan

Sisyphus yang sarat dengan pelbagai elemen seperti komedi, aksi dan fantasi misteri memaparkan watak utamanya yang terperangkap dalam hidup masa lampau dengan penuh penyesalan tanpa berkesudahan.

Namun, dalam kehidupan realitinya, aktres The Heirs itu sedikit pun tidak mempunyai sebarang kekesalan. Itu yang membezakan wataknya dalam drama Sisyphus.

“Sudah pasti saya juga ada memori lampau yang tidak dapat dilupakan. Tetapi saya hidup pada hari ini disebabkan kombinasi pilihan yang telah dilakukan pada masa dahulu.

“Berbanding jika ingin pulang ke masa lalu, saya lebih memilih untuk terus menjalani kehidupan sekarang dengan penuh bermakna,” luahnya.

Mencuba banyak genre lakonan semestinya menjadi buruan setiap pelakon. Dari situ mereka mampu menyerlahkan kebolehan mendalami sesebuah watak.

Begitu juga dengan aktres berusia 31 tahun itu yang mengakui dia sebenarnya sudah lama mengimpikan sebuah naskhah aksi.

Sebelum memulakan penggambaran, Shin-hye membuat persiapan rapi dengan menjalani latihan untuk babak aksi selama hampir dua bulan.

“Realitinya, saya memang gemar melakukan aktiviti sukan.Sebelum penggambaran bermula, saya berlatih membiasakan diri melakukan pergerakan melibatkan babak aksi.

“Disebabkan drama ini berlatar belakang kehidupan pada masa depan, penggambaran dijalankan di kawasan terpinggir di Myeongdong dan lokasi seperti gurun. Saya sudah terbiasa dengan kawasan seperti itu sepanjang penggambaran,” kongsinya.

MENERUSI Sisyphus: The Myth, Shin-hye berharap penonton dapat memutikkan kembali harapan untuk mendepani kehidupan yang serba mencabar.

Sinergi sempurna

Pertama kali bergandingan dengan Seung-woo yang terkenal menerusi drama Stranger, Shin-hye menyifatkan aktor itu mampu mencetuskan energi dan keserasian ketika di set penggambaran.

“Dalam drama ini, ada banyak babak yang sangat mencabar. Tetapi Seung-woo akan sentiasa bersama saya. Adakalanya dia tiada di set tetapi saya sanggup menunggu sehingga dia tiba.

“Dari situ saya sedar wujudnya jurang perbezaan yang sangat ketara ketika kami menjalani penggambaran secara berasingan atau bersama-sama,” katanya.

Sisyphus terbitan JTBC merupakan naskhah istimewa yang ditayangkan kepada umum sempena ulang tahun ke-10 stesen tersebut.

JIKA sebelum ini dia cukup dikenali sebagai pelakon manis yang kerap membawakan watak gadis polos dalam drama romantis, Shin-hye kini semakin garang mencuri perhatian peminat menerusi babak aksi dan mencemaskan.

Kritikan

Bersilih ganti judul karya, kemunculan Shin-hye dalam beberapa naskhah sejak dua tahun kebelakangan ini memercikkan keterujaan peminat, ditambah pula dengan penampilan hebatnya menerusi genre suspen seram.

Contohnya seperti Alive dan The Call yang ditayangkan tahun lalu, nama Shin-hye memenuhi ruang carian dalam internet sehingga mencetuskan sohor kini.

Sejak memulakan debut pada 2003 sebagai pelakon cilik, aktres kelahiran Gwangju itu cukup terkenal sebagai bintang yang berkebolehan membawakan apa jua jenis watak.

Sisyphus merupakan kemunculan semula Shin-hye dalam lakonan drama selepas kali terakhir muncul menerusi naskhah Memories of The Alhambra di samping aktor kacak, Hyun Bin pada 2018.

Meskipun pada awalnya kemunculan Sisyphus dihujani keterujaan peminat yang barangkali merindukan kelibat Shin-hye, namun kritikan negatif tetap wujud.

Drama berkenaan mendapat kritikan hebat penonton kerana menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI) yang teruk, sedangkan babak aksi menjadi elemen yang paling kuat hendak ditonjolkan.

Contohnya menerusi tayangan episod kedua pada 24 Februari lalu memaparkan adegan Tae-sool yang menjadi sasaran penjenayah ketika berlangsung sebuah seminar sebelum diselamatkan Seo-hae menyeberang bangunan menggunakan tali.

“Rasa mahu menangis ketika menonton drama ini. Kesan CGInya kenapa sangat teruk?” itu antara komen peminat yang ternyata kecewa dengan hasil kerja produksi.

Walhal, selain ‘menjual’ nama besar seperti Shin-hye, naskhah berkenaan dicanang-canang sebagai antara yang termahal dalam sejarah produksi Korea Selatan kerana menelan belanja tinggi sebanyak 25 bilion won atau bersamaan RM90 juta.

Lebih menyedihkan, rating untuk episod terkini drama berkenaan tiba-tiba turun kepada 6.167 peratus berbanding rekod yang dicatat sebelumnya iaitu 6.677 peratus.

DALAM kehidupan realiti, aktres The Heirs itu sedikit pun tidak mempunyai sebarang kekesalan. Itu yang membezakan dirinya dengan watak lakonan dalam drama Sisyphus: The Myth.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI