TURIN – Bintang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo berjaya meledak satu gol ketika membantu pasukan itu menundukkan Spezia 3-0 pada aksi Serie A di Stadium Allianz awal pagi semalam.
Jaringan itu sekali gus menyaksikan Ronaldo yang sudah berusia 36 tahun berjaya mengumpul 20 gol atau lebih semusim untuk tempoh 12 musim kariernya dalam saingan di liga utama Eropah.
Sepanjang sembilan musim di Santiago Bernebeu, Ronaldo tidak pernah menjaringkan kurang daripada 20 gol semusim untuk aksi La Liga selain pernah meledak 40 gol dan lebih untuk tiga musim bersama Real Madrid.
Selepas melengkapkan perpindahan ke Juventus, Ronaldo tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan rentaknya apabila berjaya menjaringkan 52 gol setakat ini pada aksi Serie A untuk dua musim di Turin.
Musim pertama bersama The Old Lady, Ronaldo berjaya meledak 21 gol manakala musim kedua 31 gol dan setakat ini untuk musim ketiga dia sudah mengumpul 20 gol.
Selain 20 gol untuk aksi liga musim ini, Ronaldo turun meledak tujuh lagi gol dalam semua kejohanan yang disertainya bersama Juventus.
Hasil kemenangan ke atas Spezia, Juventus kekal menduduki tangga ketiga Serie A dengan meraih 49 mata ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Inter Milan yang mengumpul 56 mata manakala AC Milan di kedudukan kedua dengan 52 mata. – AGENSI