JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas sejumlah 18,940 kotak produk kesihatan bernilai RM1.89 juta dalam satu serbuan di sebuah premis di Kempas, di sini, petang semalam.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, serbuan bagaimanapun tidak membabitkan sebarang tangkapan.
Menurutnya, serbuan pada pukul 4 petang itu dijalankan seramai 10 pegawai penguatkuasa ekoran aduan awam berhubung satu perniagaan jualan langsung yang disyaki tidak berdaftar.
“Premis yang diserbu merupakan sebuah stor simpanan produk berkenaan yang kami percaya perniagaan itu telah beroperasi sejak 2018 lagi.
“Ketika serbuan dibuat, terdapat lima orang pekerja berusia antara 30-an hingga 50-an berada di dalam premis berkenaan namun mereka tidak ditahan sebaliknya hanya diambil keterangan untuk membantu siasatan.
“Salah seorang daripada mereka merupa pemilik premis yang berusia anggaran 30-an,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hairul Anuar lagi, ini merupakan kali pertama pihaknya membongkar kes berkaitan perniagaan jualan langsung tidak berdaftar di Johor.
Katanya, pihaknya percaya produk itu dihasil dan dibungkus di Malaysia untuk dijual dengan harga antara RM100 dan RM105 sekotak di pasaran tempatan melalui pelbagai kaedah jualan.
“Bungkusan produk ini juga mempunyai logo pengesahan tempatan namun kita akan menyiasat ketulenan logo itu dengan pihak-pihak yang berkaitan terlebih dahulu,” ujarnya.-K! ONLINE