LONDON – Individu yang melakukan aktiviti larian perlu memakai pelitup muka ketika berlari melepasi orang lain, demikian cadangan oleh seorang pakar terkemuka, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Pakar Penjagaan Kesihatan Primer Universiti Oxford, Profesor Trish Greenhalgh berkata pelari dalam keadaan termengah-mengah sepatutnya memakai pelitup muka kerana mereka berisiko mendapat Covid-19 daripada sesiapa yang dilewati sepanjang larian.
Bercakap di program Good Morning Britain, Profesor Greenhalgh mengingatkan bahawa pelari tanpa gejala dapat menyedut koronavirus yang ada di udara jika tidak memakai pelitup muka.
“Sudah terbukti bahawa virus Covid-19 wujud dalam partikel udara jadi anda berpotensi mendapat jangkitan itu jika menyedut udara yang dihembus keluar oleh mereka yang dijangkiti wabak tersebut.
“Perlu diingat bahawa 40 peratus kes Covid-19 berlaku kerana dijangkiti oleh mereka yang tidak bergejala namun positif. Saya fikir ini sangat penting untuk menjadi seseorang yang bertanggungjawab secara sosial,” ujarnya.
Bagaimanapun, pendapat itu disangkal oleh Pakar Penyakit Berjangkit di Pusat Kesihatan Awam England, Dr. Jake Dunning yang menuduhnya cuba menimbulkan histeria dalam kalangan masyarakat kerana kadar tindak balas penyebaran virus pelari adalah di tahap tidak membahayakan.
“Memaksa orang yang berjoging memakai pelitup muka sama sekali tidak seimbang dengan anggaran risiko penyebaran Covid-19 yang munasabah. Berhenti wujudkan situasi histeria dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Berhenti memilih pelari di luar rumah tanpa alasan saintifik yang baik dan sebaliknya fokus pada bagaimana mengelakkan senario risiko penyebaran virus yang sebenar iaitu penyebaran dalaman di dalam rumah dan ruangan tertutup,” tulis Dunning di Twitter. – Agensi