fbpx

PDRM tumpaskan empat sindiket penipuan pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sejak Februari lalu hingga sekarang, pihak Polis Diraja Malaysia telah berjaya menumpaskan sekurang-kurangnya empat sindiket penipuan pelaburan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, antara sindiket yang berjaya ditumpaskan adalah skim pelaburan ‘LikeShare’, ‘Zan Zan Lee’, ‘isharefans’, dan ‘e-currency investment bitcoin’.

“Secara keseluruhan, seramai 21 individu yang terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita tempatan telah ditahan kerana penglibatan mereka dalam skim-skim pelaburan tersebut dan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Turut dirampas menerusi operasi berkenaan adalah antaranya telefon bimbit (28), kad ATM (17 keping), kad kredit (11 keping), dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), masing-masing satu salinan penyata akaun, salinan resit pelaburan dan sebuah kereta serta wang tunai berjumlah RM11,930,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, berdasarkan siasatan, ahli sindiket akan memulakan hantaran iklan tawaran pelaburan melalui platform media sosial seperti Facebook serta Whatsapp dan mangsa yang tertarik akan mula mengikut arahan sindiket untuk menyertai pakej pelaburan dengan modal yang kecil tetapi menjanjikan pulangan kuntungan berganda.

“Mangsa yang tamak kemudiannya akan melabur dalam jumlah yang lebih besar agar mendapat keuntungan yang lebih tinggi namun sindiket pelaburan ini akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan mangsa setelah mendapat jumlah pelaburan yang besar.

“Skim pelaburan palsu sememangnya mudah untuk menarik perhatian orang ramai terutamanya yang melibatkan pulangan keuntungan besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainuddin menasihatkan orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai iklan-iklan promosi di media sosial dan membuat semakan dengan agensi berkaitan.

“Untuk makluman, skim pelaburan yang berdaftar dan diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia tidak akan menjanjikan keuntungan yang terlalu besar dalam tempoh masa yang begitu singkat. Jangan mudah terpedaya dengan pakej yang dilihat sebagai terlalu indah khabar dari rupa.

“Semakan akaun dan talian telefon juga boleh dibuat menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi pengesahan sama ada akaun terbabit pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak serta menghubungi CCID SCAM RESPONSE CENTRE di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan,” jelas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI