fbpx

Mohon pindah lokasi pembalakan di Jerantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Rosmani menunjukkan lokasi aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan dekat Jerantut yang membimbangkan penduduk kerana hampir dengan kawasan penempatan dan punca air.

Oleh NIK SUKRY RAMLI

KUANTAN – Semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Jerantut Tambahan, dekat Jerantut, perlu dipindahkan segera kerana lokasi itu terlalu hampir dengan penempatan dan punca air penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Balak, Mejar (B) Mohd Rosmani Md Sharif berkata, meskipun kerja pembalakan di Kompartmen 1, hutan simpan berkenaan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri sejak dua tahun lalu, namun terdapat lima kawasan perkampungan berhampiran lokasi itu berdepan ancaman pencemaran sumber air.

Katanya, lima kampung berkenaan ialah Kampung Baharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai dan Kampung Sungai Par.

“Aktiviti pembalakan ini memang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk setempat, terutamanya ancaman terhadap punca air yang digunakan penduduk.

“Kita bimbang jika kerja penebangan balak diteruskan tanpa kawalan, kesan yang kini mula dialami Sungai Teh akan menyusahkan penduduk, terutamanya yang tinggal di Kampung Sungai Badak,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, memorandum itu bertujuan meminta kerajaan Pahang dipimpin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat mengambil perhatian dan tindakan segera, sebelum berlaku insiden tidak diingini di kawasan berkenaan.

“Kawasan ini sangat sensitif dan senang berlaku banjir. Kita bimbang kejadian banjir teruk awal Januari lalu di Kampung Sungai Badak boleh berulang pada masa akan datang.

“Mereka (pekerja syarikat pembalakan) sudah menyambung semula kerja pembalakan pada 22 Januari lalu dan jarak antara lokasi aktiviti pembalakan itu dengan Sungai Teh dan Kampung Sungai Badak adalah antara 500 hingga 1,000 meter sahaja,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI