LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp boleh menarik nafas lega apabila tiga pemain utama, Alisson, Fabinho dan Diogo Jota boleh diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di Anfield awal pagi esok.
Aksi menentang Chelsea hadir pada waktu yang tepat memandangkan The Reds kembali menemui sentuhan kemenangan selepas menewaskan Sheffield United 2-0 Isnin lalu.
Justeru, Klopp berharap kepulangan tiga pemain itu selain kemenangan ke atas Sheffield mampu melonjakkan semangat The Reds menjelang aksi menentang Chelsea.
“Saya percaya Alisson dan Fabinho boleh bermain pada pertemuan menentang Chelsea. Mereka tidak ada sebarang masalah berhubung kecergasan.
“Sementara itu, saya belum pasti dengan keadaan Diogo (Jota) kerana terpaksa menghantarnya pulang ke rumah selepas dia mengakui rasa tidak sihat,” kata Klopp.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Borussia Dortmund itu berharap Jota segera pulih daripada masalah kesihatan tersebut dan kembali bersama pasukan sebelum bertemu Chelsea.
“Saya fikir dia boleh bermain tetapi ia bergantung terhadap kecergasannya. Secara kasarnya dia bersedia kerana sudah turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI