fbpx

Kerajaan PN masih utuh di bawah Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin mempengerusikan MPT Bersatu di sebuah hotel di Putrajaya petang tadi.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu memandang serius kandungan surat yang dihantar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 26 Februari lalu kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

Hamzah bagaimanapun berkata, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

“Gerak kerja ini adalah berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, satu Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin diadakan di sebuah hotel di sini petang tadi dan berlangsung selama kira-kira tiga jam.

Sementara itu, Hamzah berkata, dalam mesyuarat itu, Bersatu menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

Kata Hamzah, dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutama dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Justeru, Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi Kerajaan PN,” katanya.

Sebelum ini, UMNO menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri bertarikh 26 Februari lalu memutuskan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik, mesti berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI