fbpx

Kedah terima manfaat RM2.62 bilion hasil penstrukturan semula air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim (tengah) bersama Muhammad Sanusi (empat dari kiri) melihat pertukaran dokumen berhubung perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menerima manfaat berjumlah RM2.62 bilion hasil daripada termeterainya perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak RM1.82 bilion daripada jumlah manfaat yang diterima itu adalah dalam bentuk penghapusan hutang yang ditanggung kerajaan negeri selama ini.

Katanya, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM699 juta dengan bakinya berjumlah RM1.12 bilion dipindahkan ke Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Manakala sejumlah RM1 bilion lagi manfaat yang diterima daripada pemeteraian perjanjian ini adalah kelulusan pembinaan dua projek Loji Rawatan Air (LRA) berjumlah RM1 bilion.

“Projek LRA dimaksudkan adalah di Sidam Kiri, Kuala Muda yang akan menelan belanja RM450 juta dan dijangka siap pada 2027 dan LRA di Kodiang, Kubang Pasu melibatkan perbelanjaan RM550 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.

Tuan Ibrahim menambah, jumlah itu tidak termasuk dua projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang berperanan menakung air ketika musim hujan bagi digunakan pada musim panas.

“TAPS akan memainkan peranan besar apabila tiba musim kemarau agar sumber air di Kedah sentiasa mencukupi untuk tujuan pertanian dan domestik.

“Berbeza dengan konsep empangan yang dibina di hulu, TAPS akan dibina di hilir sungai dan berdekatan LRA agar mudah dirawat lalu terus disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan dalam masa sama berusaha menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) yang kini berada pada tahap 43 peratus di Kedah kepada 25 peratus.

“Masalah utama di Kedah adalah paip-paip lama yang berusia antara 40 hingga 45 tahun. Proses penggantiannnya memerlukan kos yang amat tinggi.

“Terdapat tiga kaedah penggantian dirancang bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu antaranya perkongsian pembiayaan kos antara kerajaan pusat dan negeri. Insya-Allah perkara itu mampu membantu mengurangkan masalah NRW di negeri ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI