Oleh AZIZAN HASHIM
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang Perak FC melancarkan jersi pasukan itu untuk menghadapi kempen Liga M 2021 bermula, esok.
Selepas menyelesaikan satu persatu kemelut yang melanda akhirnya jersi pasukan itu dilancar secara atas talian tengah hari, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali berkata tiada sebarang majlis diadakan sempena pelancaran kerana PKPB.
“Segala urusan termasuk jual beli juga diadakan secara atas talian.
“Kami minta maaf di atas kesulitan yang berlaku, ia tidak dapat dielakkan,” katanya.
Menurut Rizal, penaja Perak FC iaitu Kaki Jersi (KJ) mengeluarkan dua set jersi iaitu untuk perlawanan di gelanggang lawan yang berwarna putih dan di tempat sendiri berwarna kuning..
Beliau berkata jersi warna putih mempunyai tulisan ‘Royal Belum’ manakala bagi jersi bewarna kuning bertulis ‘Lenggong Valley’ di bahagian hadapan.
Rizal berkata harga sehelai jersi ialah antara RM99 hingga RM105 untuk saiz dewasa manakala RM39 untuk kanak-kanak.
Katanya tempahan jersi boleh dibuat melalui laman web http: //perakfc.com.my.