PETALING JAYA – Impian arwah Nurina Edwin Abdullah, 47, untuk membeli kereta tidak kesampaian selepas terlibat dalam kejadian runtuhan jejambat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang meragut nyawanya semalam.
Impian tersebut diceritakan oleh abang ipar arwah, Muhammad Raffidin Mohd. Jufri, 33, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Arwah yang berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan seorang mualaf sejak beberapa tahun lalu dan tinggal di sekitar Setiawangsa.
“Suami arwah juga telah meninggal dunia setahun lalu dan dia ada memberitahu untuk membeli sebuah kereta namun impian itu tidak kesampaian,” katanya yang baru berjumpa arwah tiga hari lepas.
Tambah Raffidin, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa arwah selepas dihubungi pihak kilang elektronik di Subang Mewah tempat arwah bekerja sejak 10 tahun lalu.
“Setakat ini, kita masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat boleh dilakukan.
“Sekiranya semuanya dipermudahkan, jenazah arwah akan dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.
Dua wanita pekerja kilang maut manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu cedera. -K! ONLINE