LONDON – Lewis Hamilton mengakui bahawa gelaran dunia kelapan perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini bukanlah pengakhiran kariernya dalam saingan tersebut.
Pelumba kelahiran Britain tersebut mencatat rekod baharu dalam perlumbaan F1 tahun lalu apabila melakar kemenangan paling banyak sepanjang perlumbaan dan turut melakar gelaran dunia ketujuh sekali gus menyamai rekod Michael Schumacher.
Sebelum ini timbul khabar angin bahawa Hamilton bakal menamatkan kariernya sejurus menjuarai gelaran dunia kelapan pada tahun ini.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi selepas pelumba berusia 36 tahun itu hanya menandatangani kontrak semusim bersama Mercedes musim ini.
“Saya telah membuat keputusan sangat penting dan dalam fikiran ini saya tidak mahu menjadikan gelaran dunia kelapan F1 sebagai alasan untuk meninggalkan perlumbaan ini.
“Saya menceburkan diri dalam F1 kerana minat saya dalam perlumbaan. Saya rasa ia akan sentiasa menjadi teras kepada apa yang saya lakukan sebelum ini.
“Jika anda memburu gelaran, saya rasa anda akan hilang arah. Sudah tentu ia akan menjadi impian paling tinggi tetapi saya tidak rasa ia perlu menjadi faktor penentu sama ada mahu kekal atau bersara,” kata Hamilton ketika majlis pelancaran kereta jentera Mercedes W12 malam kelmarin. – AGENSI