KUALA LANGAT – Kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan berjaya dikawal daripada merebak masuk ke kawasan hutan menggunakan water bombing daripada pesawat bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selama dua hari bermula Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebanyak 43 sortie perjalanan penugasan dilakukan untuk menjatuhkan water bombing dengan jumlah kapasiti 258,000 liter air di kawasan kebakaran seluas 40.46 hektar itu.
Katanya, bermula hari ini, tugas menggugurkan water bombing di kawasan kebakaran tersebut diambil alih oleh Unit Udara JBPM menggunakan helikopter jenis Agusta AW189 sehingga ia selesai.
“Operasi pemadaman hari ini dilakukan dengan menggugurkan 1,200 liter air berjaya memadamkan api sepenuhnya di kompartmen 12 manakala dua lagi kompartmen iaitu 13 dan 14 hampir dipadamkan.
“Kita percaya, jika operasi ini dijalankan secara berterusan, kita akan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam masa seminggu,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Udara JBPM, Nazili Mahmood.
Mengulas lanjut, Nazili memberitahu, penggunaan helikopter Agusta AW189 sangat berkesan terutama bagi memadamkan kebakaran hutan dengan tumpuan diberikan untuk memadam kepala menggunakan teknik secara terus (direct), serangan (attack) dan semburan.
Ujarnya, unit udara turut menggunakan dron bagi mengesan jumlah dan kedalaman api dalam tanah gambut menggunakan infrared.
“Kita akan menggunakan dron untuk memantau tompokan api dan mengatur gerak anggota yang bertugas di kawasan pemadaman.
‘Ia bukan sahaja membolehkan kita mengatur gerak jentera berat malah ia dapat mempercepatkan proses pemadam selain meringankan beban kerja anggota di lokasi,” katanya. – K! ONLINE