PETALING JAYA – Bapa kepada pelakon dan model terkenal, Kavita Sidhu, Prof. Datuk Dr. Joginder Singh Budh Singh meninggal dunia pada usia 85 tahun di ibu negara semalam.
Perkara tersebut dikongsikan Kavita menerusi hantaran Instagramnya sebentar tadi.
“Dengan rasa hiba dan penuh kesedihan, kami dengan dukacita ingin memaklumkan pemergian bapa tercinta, Prof. Datuk Dr. Joginder Singh pada 3 Mac.
“Terima kasih atas semua ucapan takziah yang diberikan,” tulisnya.
Menurut Kavita atau nama sebenarnya Kavita Kaur Sidhu, mendiang bapanya akan dibawa ke Pusat Krematorium di Loke Yew, Kuala Lumpur pagi ini untuk penghormatan terakhir sebelum upacara pembakaran pada pukul 2 petang.
Dr. Joginder yang sebelum berkhidmat sebagai pensyarah radiologi di Universiti Malaya menghembuskan nafas terakhir tengah hari semalam.
Tokoh akademik kelahiran Taiping, Perak itu merupakan antara individu yang bertanggungjawab mewujudkan Jabatan Pengimejan di Hospital Pantai pada tahun 1985.
Mendiang meninggalkan seorang balu Datin Dr. Prabhavathi, tiga orang anak dan tiga orang cucu. – K! ONLINE