fbpx

Atlet kita mulai lega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEGUSARAN atlet negara yang sedang melakukan persiapan ke temasya antarabangsa dan Sukan Olimpik ketika ini dalam ­situasi membimbangkan berikutan pandemik Covid-19 yang dilihat tiada penghujungnya.

Bagaimanapun, kehadiran vaksin ke Malaysia baru-baru pasti melegakan semua pihak terutama kepada atlet serta pegawai yang akan mengiringi mereka ke temasya tersebut.

Tahun ini sahaja, kontinjen negara akan menyertai dua temasya besar seperti Sukan ­Olimpik Tokyo, Jepun yang berlangsung pada Julai nanti dan seterusnya Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada November 2021.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan awal selepas membenarkan pemberian vaksin Covid-19 terhadap 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dan misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

Meskipun Jawatankuasa ­Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum ini tidak meletakkan syarat wajib suntikan vaksin itu ke pentas Olimpik, namun tindakan Kerajaan Malaysia mengga­lakkan pemberian vaksin lebih awal harus dipuji.

264 individu tersebut adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai KBS untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjangkakan pada Mei ini, semua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos ke­dua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

“Kami mengharapkan sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 atlet dan pegawai itu akan berjaya divaksin. Makna­nya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai kejohanan dan bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Tambah Reezal Merican, meskipun IOC tidak mewajibkan suntikan vaksin tersebut, namun pengambilannya dilihat mampu menjamin keselamatan serta tahap kesihatan atlet.

“Pengambilan vaksin adalah secara sukarela. Kami sediakan jika mereka atlet ingin divaksin dan terdapat beberapa prosedur serta borang perlu diisi, tetapi seperti disebut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini percuma dan secara sukarela, bukannya wajib.

“Saya yakin semua atlet akan memilih untuk divaksin kerana ia satu perkara yang memberi kedudukan mereka jauh lebih selamat,” ujarnya.

Pemberian vaksin itu turut men­dapat reaksi positif pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Affendy yang akan me­nyertai temasya Olimpik ­Tokyo dan berharap fokusnya tidak terganggu akibat pandemik Co­vid-19.

“Saya menyambut baik kedatangan vaksin ini tetapi jika ia dapat beri kelebihan terutama untuk menyertai kejohanan di pentas antarabangsa adalah le­bih baik.

“Kejohanan pelayaran di rantau ini banyak dibatalkan berikutan Covid-19, namun di peringkat Eropah mereka tetap menjalankan kejohanan sekali gus menjadi peluang kepada atlet pelayaran di sana untuk menguji prestasi mereka.

“Sukar untuk saya me­ngukur tahap prestasi saya ketika ini jika ingin dibandingkan dengan wakil Eropah yang sudah menyertai banyak kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Keadaan angin di sini tidak berombak menyukarkan saya untuk menjalani latihan. Jadi saya harap jika kami menerima suntikan lebih awal ia menjadi peluang kepada atlet untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa. Secara keseluruhan saya menyokong pemberian vaksin ini kepada atlet negara,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI