PETALING JAYA – “Beberapa hari sebelum kejadian, dia kelihatan diam dan banyak termenung tidak seperti kebiasaannya.”
Demikan kata Rashidah Ibrahim, 54, rakan rapat kepada arwah Norhayati Abdullah, 42 yang meninggal dunia akibat runtuhan jejambat dalam pembinaan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Pandan Indah menghala Ampang semalam.
Rashidah Ibrahim berkata, kali terakhir berjumpa dengan arwah adalah pada Selasa lalu ketika sedang bekerja bersama-sama.
“Sejak beberapa hari lalu arwah banyak mendiamkan diri dan asyik termenung. Kebiasaannya dia seorang yang banyak cakap dan suka mengusik.
“Saya tidak sangka ini merupakan petunjuk dia akan meninggalkan kami semua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini hari ini.
Sementara itu, Kakak arwah, Maslina Wati, 43, berkata, Norhayati seorang insan yang baik dan sering mengambil berat hal keluarga.
“Arwah sentiasa bertanya khabar dan sering bergurau senda namun sejak akhir-akhir ini dia banyak mendiamkan diri.
“Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan Covid-19 dan sekiranya negatif, kita akan membawa jenazah arwah ke Sungai Besar untuk dikebumikan,” jelasnya. -K! ONLINE