PENYANYI Rain mengakui dia mempunyai hobi menjelajah kawasan bandar untuk mencari restoran yang menyajikan makanan paling sedap.
Pada satu ketika dahulu, dia pernah menikmati makanan di tempat yang sama sebanyak lima kali sehari.
Ketika ditanya mengapa dia tidak membawa isterinya, pelakon Kim Tae-hee bersama-sama menikmati makanan tersebut, Rain memberi jawapan ringkas.
Katanya, mereka mempunyai cita rasa yang berbeza dalam soal pemakanan.
“Kami tidak boleh pergi bersama-sama. Sebab masing-masing ada perbezaan ketara dalam pemakanan. Isteri saya sejenis yang akan makan apa sahaja. Dapat makan semangkuk sup pun sudah memadai baginya.
“Tetapi berbeza dengan saya yang gemar makan banyak. Saya suka makan banyak lauk seperti daging, ikan dan ayam,” katanya ketika muncul dalam program The Manager terbitan MBC.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 39 tahun itu sekali-sekala tetap membawa isterinya makan di luar.
“Saya kerap juga bawa dia makan di luar tetapi di restoran yang menerima tempahan awal. Tempat yang selalu saya makan selalunya tidak terima tempahan awal,” katanya lagi.