KETIKA mula mengetuk pintu dunia seni sekitar 2016, lelaki berusia 34 tahun itu pernah dibelenggu masalah kemurungan.
Dalam hatinya bersarang kekesalan walhal single sulung, Sudahlah Sayang ciptaan Zul 2 By 2 sedang rancak dipromosikan. Demikian antara dilema yang dilalui pemilik nama sebenar Shukri Azam Zainal Abidin itu.
Hinggakan pada satu tahap Shukri diberhentikan kerja tetap sebagai pegawai di sebuah agensi perbankan. Ketika itu penyanyi berusia 34 tahun ini mengakui terlalu sibuk mengejar cita cita dan dikatakan gagal memenuhi komiten kerja tetap di bank berkenaan.
Biarpun kurang meledak, single pertama sempat beroleh peluang dijadikan runut bunyi drama bersiri Sayang Papa Saya Tak dan Mawar Murni.
“Saya akui khilaf sendiri. Terlalu ghairah nak jadi penyanyi, saya tidak fikir langsung keutamaan kerja bank yang saya sudah ceburi sejak tujuh tahun. Tapi saya sedar dan akur setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Saya ada rekod mengesahkan pernah mengalami kemurungan. Ketika itu saya jadi lemah semangat, hilang selera makan, berat badan menurun dan macam macam lagi. Saya sampai kena ambil ubat anti depresi kerana mahu mengatasi masalah kebimbangan dan susah nak tidur.
“Saya cuba untuk bangkit semula dan berusaha mengeluarkan single kedua. Namun sering tertangguh kerana masalah kemurungan. Akhirnya pada 28 Februari 2019, saya berjaya juga hadirkan single berjudul Atas Cintamu garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen,” katanya.
Bagaimanapun single kedua itu gagal menyerlah bakat Shukri yang ketika itu dikenali dengan nama Azam Smile.
“Selain masalah kekurangan promosi, masalah kemurungan dan kesihatan membataskan pergerakan saya. Saya sendiri mengakui ada kalanya seperti hilang arah dan tidak fokus dengan apa yang dimahukan,” katanya.
Pemilik Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Islam Antarabangsa itu menyesal kerana pernah melakukan perbuatan yang agak melampau batas.
“Ketika masih bekerja di agensi perbankan pun saya buat sesetengah perkara tanpa fikir panjang. Saya amat menyesal dan insaf kerana memantis atau mencukur kening. Perbuatan itu terang terangan haram. Konon nak bergaya macam artis K-pop.
“Tambah pula saya jenis yang mementingkan penampilan dan mengutamakan cara berpakaian yang kemas serta bergaya. Sekarang kalau ada tuntutan kerja, saya gunakan teknik solekan untuk menutup kening yang dipantis itu,” jelas Shukri yang mengharap sinar 2021 memihak kepadanya.
Dia juga optimis dengan single ketiga berjudul Puisi Rindu terbitan Kame Music Production akan membuka semula laluan muzik buat dirinya. Menariknya, lagu ciptaan sendiri bersama Avny tersebut merupakan sebuah tribut buat penyanyi terkenal, Allahyarham Datuk Nassier Wahab.
Atas nasihat seorang ibu juga, dia juga menukar nama pentas lamanya, Azam Smile dan kini mahu dikenali sebagai Shukri Zainal
“Saya mula mengenali Nassier Wahab sekitar 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Arwah banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah juga pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.
“Tetapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik. Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik “humming”.
“Selepas itu saya suarakan kepada Avny apa yang terlintas di hati. Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Kata Shukri lagi, penggambaran video muzik pada Disember tahun lalu ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios
“Lebih menyentuh hati, penggambaran video muzik itu dijalankan di kediaman arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah, Aliff juga berlakon sebagai cameo.
“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih, apatah lagi keluarga arwah juga turut menyaksikan proses pengambaran dari awal hingga akhir. Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama,” katanya
Lagu Puisi Rindu kini boleh distrim menerusi semua platform digital terpilih. Video muzik rasminya telah dilancarkan sejak 5 Februari menerusi YouTube Kame Music Production. – K! ONLINE