AKTRES Goo Hye-sun dilihat sebagai seorang selebriti yang cukup terbuka berbicara tentang keruntuhan rumah tangganya bersama aktor, Ahn Jae-hyun.
Terbaharu, ketika muncul dalam program AM Plaza terbitan KBS1, pelakon drama Boys Over Flower itu menyifatkan perceraian sebagai perkara yang tidak penting baginya.
Hye-sun berkata sedemikian selepas ditanya pengacara program, bagaimana kehidupannya sekarang selepas berpisah dengan suami.
“Perkara ini (perceraian) bukan terjadi baru-baru ini, jadi sekarang saya sudah meneruskan hidup seperti biasa.
“Perceraian bukan lagi perkara yang penting selepas seseorang itu meneruskan kehidupan seperti biasa dan membuka buku baharu,” ujarnya ringkas tetapi padat.
Untuk rekod, Hye-sun dan Jae-hyun bersetuju menyelesaikan kes perceraian secara rasmi pada Julai tahun lalu.
Pasangan itu berpisah selepas empat tahun bergelar sebagai suami isteri.