fbpx

Pasangan suami isteri dalang kes ragut dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada sebuah kumpulan peragut Adi Bee pada satu sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

SENTUL – Kelicikan sepasang suami isteri mendalangi aktiviti ragut di sekitar Lembah Klang sejak tahun tahun 2019 akhirnya kecundang selepas kedua-dua mereka dicekup dalam Ops Rentap pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pasangan suami isteri berkenaan adalah antara lima individu berusia 24 hingga 35 tahun yang ditahan menerusi operasi di sekitar Lembah Klang itu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang suami isteri, dua rakan subahat serta seorang ejen penjual hasil ragut dan modus operandi kumpulan yang dikenali sebagai Adi Bee ini adalah menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal di sekitar kawasan perumahan serta perindustrian di Lembah Klang.

“Si suami akan melakukan kerja-kerja ragut bersama dua lagi rakan manakala si isteri akan berurusan dengan ejen bagi urusan jual beli barangan hasil ragut,” beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (Sentul) di sini hari ini.

Menurut Eng Lai, pihak polis turut mermpas beberapa barangan dipercayai hasil ragut seperti tiga buah telefon bimbit, dua cermin mata, lima utas jam tangan, beberapa utas barangan kemas dan sebuah motosikal Yamaha 135LC .

“Turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM10,111 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM15,000.

“Semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah serta kes dadah dan menerusi tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan 11 kes ragut di kawasan Kepong juga beberapa kes lain di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Eng Lai menegaskan, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Bilik Gerakan IPD Sentul (03-40482206) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI