KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dijangka membuat permohonan baharu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan memberi kebenaran buat penyokong kembali hadir ke stadium pada saingan Liga Malaysia 2021 (Liga M) pada Mei depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, permohonan bagaimanapun hanya akan dibuat sekurang-kurangnya dua bulan selepas saingan Liga M membuka tirai rasmi Jumaat ini.
“Bola sepak sememangnya sukan yang sangat dekat di hati rakyat dan kita akan usahakan untuk mengembalikan kehadiran penyokong ke stadium dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kita akan meneliti SOP yang akan diberikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum membuat permohonan kepada MKN tetapi hanya selepas saingan Liga M dijalankan selama dua bulan.
“Apa yang pasti, jumlah penyokong yang akan dibenarkan nanti mengikut kapasiti yang sesuai dengan harapan agar tidak memberi sebarang ancaman kepada gelembung sukan sedia ada,” katanya ketika ditemui majlis pelancaran Liga M 20201 di Putrajaya semalam.
Hadir sama Presiden MFL yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Sebagai rekod, MKN pada penghujung tahun lalu telah memberi lampu hijau buat industri sukan dilangsungkan dengan kehadiran sebanyak 10 peratus kapasiti stadium atau 4,000 penyokong.
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila pandemik Covid-19 memasuki gelombang ketiga pada awal tahun ini sehingga menyaksikan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Januari lepas.
Sementara itu, Reezal turut mengesahkan proses vaksinasi buat barisan pemain dan pegawai yang terlibat pada saingan Liga M hanya akan dibuat pada fasa berikutnya selepas keutamaan diberi buat atlet yang akan ke Sukan Olimpik.
“Atlet Olimpik menjadi keutamaan dan seperti diumumkan sebelum ini, mereka akan disuntik vaksin pada April dan saya turut menerima suntikan bersama-sama mereka. Fasa seterusnya mungkin akan diberikan buat pemain dan pegawai Liga M,” katanya.