fbpx

‘Mat Rossi’ sarung sut Petronas SRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSSI dan Morbidelli akan memacu jentera Yamaha YZR-M1 bersama pasukan milik Malaysia, Petronas SRT bagi saingan MotoGP musim ini.

PASUKAN Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) teruja dalam memulakan misi ketiga­nya pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 de­ngan menampilkan juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dan Franco Morbidelli bersama jentera Yamaha YZR-M1 semalam.

Pelancaran wajah baharu jentera pasukan tersebut diadakan secara dalam talian bersama Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali dan pengarah pasukan, Johan Stigefelt serta pengurus pasukan, Wilco Zeelenberg.

Rossi yang kini menjangkau usia 42 tahun mengakui teruja bersama pasukan milik Malaysia tersebut dan tidak sabar untuk kembali memburu kemena­ngan dengan kali terakhir muncul juara adalah pada Grand Prix (GP) Belanda 2017.

“Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pasukan Petronas SRT. Ini adalah cabaran baharu bagi saya. Meskipun pasukan ini masih muda, namun dalam tempoh dua tahun terakhir­ lalu mereka sangat kompetitif.

“Saya gembira dan teruja dapat melihat jentera baharu saya untuk tahun ini dan saya sangat suka dengan warna jentera, sut, topi keledar dan lain-lain. Sudah pasti ia kelihatan hebat dan tidak sabar untuk memulakan saingan pembukaan di Qatar.

“Sasaran saya untuk 2021 adalah untuk kembali kompetitif, berjuang untuk memenangi perlumbaan, memburu podium serta berada dalam kedudukan terbaik dalam pemburuan kejuaraan dunia MotoGP musim ini.

“Saya juga akui Morbidelli merupakan pelumba terbaik dan saya sangat mengenalinya dengan rapat. Pasukan mempunyai motivasi baik dan saya akan berusaha semaksimum mungkin untuk mencapai hasil positif pada akhir perlumbaan nanti. Kami sudah bersedia untuk memulakan cabaran ini,” katanya semalam.

Petronas SRT dianggap pasukan luar biasa selepas muncul selaku pasukan satelit (persendirian) terbaik buat tahun kedua berturut-turut sekali gus membantu Yamaha menduduki tangga­ kedua kedudukan penge­luar di belakang Ducati tahun lalu. Lebih manis, Morbidelli muncul selaku pelumba kedua terbaik di belakang juara dunia 2020, Joan Mir.

Sudah pasti pencapaian pasukan Petronas SRT jauh lebih baik berbanding pasukan Monster ­Energy Yamaha MotoGP yang menampilkan Maverick Vinales dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yamaha, namun sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Kehadiran Rossi pada tahun ini bersama Petronas SRT bakal menjadikan pasukan milik Malaysia lebih lengkap dan sasaran untuk muncul selaku pasukan terbaik bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI