AMPANG JAYA – Seorang lelaki ditemui rentung dalam satu kebakaran melibatkan sembilan buah rumah di Kampung Setinggan Pandan Jaya, Ampang Jaya di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.29 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya sembilan buah rumah telah terbakar keseluruhannya dan pasukan penyelamat turut menemui mayat seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dalam keadaan rentung sepenuhnya di tempat kejadian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz Cheras untuk dibedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Turut ke lokasi adalah anggota Bomba dan Penyelamat dari Pandan Indah, Ampang, Pudu dan Keramat bagi membantu memadamkan kebakaran serta pihak forensik bomba Bukit Jelutong Shah Alam untuk membantu siasatan.
Jelas Mohamad Farouk siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE.