KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md. Yunos, berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akhirnya selesai apabila Jamal mengemukakan kenyataan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah hari ini.
Permohonan maaf itu dibacakan Jamal ,51, di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan dihadiri Mohammed Nasser Yusof manakala Bee Yin yang tidak hadir diwakili Datuk Sankara Nair.
“Saya Datuk Seri Jamal Md. Yunos memohon maaf kerana memfitnah YB Yeo Bee Yin sebelum ini dan saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas. Saya ingin memohon maaf YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin., ” katanya.
Terdahulu pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusof, mahkamah menetapkan hari ini dan Khamis adalah prosiding perbicaraan namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu melalui penghakiman persetujuan.
Pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal selaku defendan berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.
Menurut pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.
Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal, antara lain memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – K! ONLINE