MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau bakal berdepan dilema untuk memilih skuad terbaik selepas penyerangnya, Sergio Aguero kembali pulih daripada masalah kecederaan.
Guardiola yakin bahawa penjaring terbanyak kelab itu akan kembali menemui prestasi dan berada pada tahap terbaiknya selepas dibebani masalah kecederaan sebelum ini.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu percaya bahawa beliau tidak boleh memilih skuad terbaiknya berdasarkan sentimen sebaliknya akan memberikan peluang kepada pemain yang benar-benar berada pada prestasi terbaik dalam usaha mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Penyerang Argentina itu terlepas aksi sejak awal musim akibat kecederaan lutut selain berdepan masalah hamstring kemudiannya dan turut dijangkiti wabak Covid-19.
“Ada sesetengah pemain yang layak diturunkan tetapi tidak bermain. Sebab itu, ia menjadi masalah kepada pengurus yang mempunyai ramai pemain terbaik dalam pasukan.
“Sergio berdepan masalah kecederaan sejak setahun lalu. Dia bermain dua tiga perlawanan kemudian kembali cedera. Saya selalu fikir bahawa kami memerlukan khidmatnya musim ini.
“Namun, kami tidak boleh menafikan bahawa dia memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap sebenar. Apa yang positif adalah dia mampu beraksi 50 ke 60 minit, kembali menjalani latihan bersama skuad, itu yang penting.
“Kami bakal berdepan beberapa perlawanan yang sukar dan memerlukan Sergio. Kami perlukan pemain yang mampu menjaringkan gol dan dia adalah pilihan terbaik,” katanya. –AGENSI