PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon, Fad Bocey diumumkan sebagai penyampai terbaharu Hot FM bermula semalam.
Pengumuman tersebut dikongsi dalam Instagram rasmi @hotfm976 menyatakan Fad dipilih menerajui segmen Hot Jam bersama dua lagi penyampai, Haziq dan Deen.
“Pemain baru sudah masuk! Memperkenalkan pemain baru dengan jersi bernombor 99, ini dia..Fad!.
“Bakal bergandingan bersama Deen dan Haziq, ini dia barisan baru Jam Hot,” tulisnya.
Pada masa sama, Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam, 30, menerusi Instagramnya turut meluahkan rasa syukur atas rezeki dan peluang yang diterimanya.
“Alhamdulillah selesai untuk hari pertama. Terima kasih @hotfm976, @haziq_hotfm dan @deen_hotfm kerana sudi menerima diri ini seadanya.
“Thank (terima kasih) untuk semua juga yang support (sokong). Esok pagi jangan lupa dengarkan @hotfm976,” tulisnya.
Jam Hot bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula 4 petang hingga 8 malam.
Terdahulu Hot FM mengumumkan trio baru Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Mark Adam, Fizie dan Riena Diana yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 6 hingga 10 pagi. – K! ONLINE