MANILA – Filipina memecat bekas dutanya ke Brazil selepas dia dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menyerang seorang pembantu rumah di kediaman rasminya di Brasilia.
Marichu Mauro dipanggil balik ke Manila lewat tahun lalu selepas saluran penyiaran Brazil, GloboNews menyiarkan CCTV yang dirakam dalam tempoh lebih lapan bulan menunjukkan dia berulang kali mendera kakitangan di kediamannya.
Diplomat kerjaya (bukan lantikan politik) itu dipecat daripada perkhidmatan luar, kata Presiden Rodrigo Duterte kelmarin.
“Undang-undang perlu dipatuhi. Sekiranya anda ingkar, anda mengambil risiko,” kata Duterte.
Pemecatan Mauro bermakna dia kelihangan pencennya.
Menurut GloboNews, pekerja warga Filipina itu bertugas di kediaman rasmi duta tersebut di ibu kota Brazil.
Rakaman penderaan itu bertarikh antara Mac hingga Oktober 2020 digunakan sebagai bukti daam aduan kepada kerajaan Filipina terhadap Mauro.
Wanita itu dihantar ke Brazil pada 2018 yang mana dia turut bertanggungjawab ke atas misi diplomatik ke Colombia, Guyana, Suriname dan Venezuela.
Berjuta-juta rakyat Filipina mengelak gaji rendah, penggangguran dan peluang terhad di tanah air dengan berhijrah keluar negara termasuk bekerja sebagai pembantu rumah. Wang yang dihantar pulang adalah penting kepada ekonomi Filipina.
Bagaimanapun, ramai pekerja tersebut berdepan situasi berbahaya manakala laporan mengenai penderaan fizikal dan emosi bukan perkara asing walaupun kebanyakannya dilakukan oleh majikan asing. – AFP