JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki yang mengaku Datuk Seri diberkas selepas mengugut seorang anggota polis berpangkat Inspektor dalam kejadian pada Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 56 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berusia 41 tahun pada pukul 8.30 malam susulan mangsa membuat laporan.
“Kes ini bermula pada 22 Februari lalu apabila kedua-dua suspek melakukan pemerasan ke atas seorang lelaki supaya sejumlah hutang dengan cara kekerasan sebelum mangsa membuat laporan polis.
“Susulan laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas dua suspek terbabit pada pukul 8.30 malam, Khamis lalu dan semasa tangkapan dilakukan suspek bergelar Datuk Seri ini mengugut pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Ketika ditahan, Datuk Seri itu sekali lagi bertindak menggugut polis bertugas dengan kata-kata ‘kalau tuan tangkap saya, saya akan porak perandakan semua balai polis dan hidup tuan’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati suspek berkenaan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia dipercayai mendapat gelaran daripada kerajaan Sulu.
“Semakan rekod Datuk Seri berkenaan juga mendapati dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar tahun 80-an serta 90-an,”katanya.-K! ONLINE.