JOHOR BAHRU – Seorang lelaki hampir terkorban selepas lori tiga tan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam lima meter di Jalan Hang Kasturi, Taman Selesa Jaya, di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II, Inggai Anak Bakau berkata, lori berkenaan dipandu lelaki berusia 27 tahun.
Katanya, 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.03 pagi.
“Kemalangan membabitkan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki, sebelum terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa yang cedera keluar dengan sendiri sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Inggai berkata, bomba bertindak membuat rawatan awal di lokasi, sebelum menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.-K! ONLINE