KOTA KINABALU – Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan pihak akan mengambil tindakan segera bagi membaiki jambatan runtuh di Kampung Tahubang, Ranau di sini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dari Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Ranau.
Malah katanya, lawatan ke lokasi kejadian juga sudah dilaksanakan bagi pemantauan serta mendapatkan laporan lebih terperinci berkaitan kerosakan yang dialami.
“Difahamkan anggaran kos pembaikan telah dikemukakan kepada ibu pejabat JKR.
“Kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk melaksanakan kerja baik pulih bagi kes-kes seperti ini,” katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu sebentar tadi.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan jalan alternatif akan dibuat sementara menunggu proses membaiki jambatan baharu siap dilaksanakan.-K! ONLINE