fbpx

APM tangkap, rawat ular tedung selar tiga meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai dan anggota APM Muallim merawat ular cedera yang ditangkap di sebuah rumah penduduk di Kampung Nayan, Slim River dekat Tanjung Malim hari ini.

TANJUNG MALIM – Prihatin dengan kecederaan yang dialami seekor ular tedung selar yang cedera di kepala, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak merawat ular berkenaan hari ini.

Pegawai APM Muallim, Kapten Shahrizal Hussin berkata, pihaknya mengambil masa selama 15 minit untuk merawat luka ular tedung selar sepanjang tiga meter itu sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, sebelum itu APM menerima panggilan kecemasan daripada penduduk Kampung Naran dekat sini pada pukul 11.45 pagi memaklumkan kehadiran haiwan berbisa itu yang masuk ke dalam rumah.

“Sepasukan anggota pegawai dan anggota lengkap dengan pakaian dan peralatan menangkap ular terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan tersebut.

“Tiba di lokasi, pengadu memaklumkan ular berkenaan masuk ke dalam rumah melalui celahan besi tingkap sebelum operasi menangkapnya dimulakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah mendapati ular tersebut berada di celah singki di bahagian dapur sebelum anggota berjaya menangkapnya.

Bagaimanapun katanya, ular berkenaan didapati cedera di bahagian kepala yang dipercayai dipukul dengan objek tajam dan anggota bertindak membawa pulang ke pejabat APM Muallim.

“Kami kemudiannya merawat luka di kepala ular itu dengan cecair pembasmi kuman sebelum menyerahkannya kepada pihak Perhilitan Sungkai,” katanya.

Pihaknya juga memuji penduduk yang melaporkan kehadiran ular untuk ditangkap pihak sepatutnya memandangkan haiwan yang cedera mungkin boleh bertindak lebih agresif dan membahayakan nyawa penduduk. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI