fbpx

Angkara media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social pernah memaparkan data bahawa Malaysia merupakan negara kesembilan di dunia yang paling aktif di laman sosial.

Laporan Digital pada tahun seterusnya pula menunjukkan pe­nembusan internet di Malaysia berada pada tahap 80 peratus.

Pengguna internet meluangkan purata lapan jam lima minit sehari untuk online.

Namun celik digital tidak bermakna pintar digital.

Sepertimana celik huruf tidak bermakna anda akan membaca bahan yang baik atau ilmiah, celik digital juga tidak dapat membawa manfaat sekiranya seseorang merelakan dirinya ditarik dalam vortex keburukan platform itu.

Bulan lepas, tiga perkara di media sosial menarik perhatian netizen negara ini.

Pertama seorang pengguna Twitter mendakwa penghantar makanan mencuri minumannya.

Kedua seorang penyampai radio yang mengecam bahasa Inggeris seorang guru di TikTok.

Ketiga, kumpulan ‘Riak Apa Hari Ini?’ yang jumlah ahlinya meroket sekelip mata.

Dalam dua kes pertama, pengguna Twitter itu digantung tugas oleh majikannya, manakala seorang lagi meletak jawatan.

Bagi kes ketiga, ia mendapat perhatian seorang pendakwah apabila grup itu dilihat seolah-olah menormalkan perbuatan riak yang dilarang keras dalam Islam.

Dunia media sosial memang ada tarikannya.

Namun, kegilaan mencari kemahsyuran 15 minit, atau ‘15-minute fame’, seperti diistilahkan di Barat, boleh me­ngundang padah.

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, netizen mendapat kepuasan apabila mendapat sokongan jika membuat kandungan menarik perhatian dan boleh dilihat ‘hip’, ‘cool’ dan ‘trendy’.

“Dari segi psikologi sosial, pelaku troll menunjukkan ciri-ciri sadistik, psikopath, sosiopath dan ketidakupayaan untuk berempati.

“Pelaku juga mungkin memiliki keyakinan diri yang rendah. Apabila mereka diberi perhatian di media sosial, nilai diri mereka seolah mendapat keabsahan,” katanya kepada Kosmo!.

Ujar beliau, netizen yang terlalu mengejar kemahsyuran internet ini juga mendapat ke­puasan apabila kemarahan atau perasaan tidak puas hati terhadap pihak tertentu dapat dilampiaskan.

Tambah Ahmad Farami, ini membolehkan kandungan negatif, kontroversi dan sensasi cepat tular di media sosial yang membolehkan si pelaku menghimpunkan ribuan pengikut.

“Bagi peniaga online, popula­riti melalui kontroversi ini bagus kerana ia dapat membantu me­lonjakkan jualan.

“Kesannya, media sosial dipenuhi kandungan picisan. Budaya mengutuk dan troll dinorma­lisasi. Ada kandungan yang me­langgar kod etika dan undang-undang, contohnya fitnah dan body shaming,” katanya.

Justeru, pengguna media sosial perlu celik media, memahami tanggungjawab sosial, sedar im­plikasi etika dan undang-undang, sedar nilai dan norma dalam masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, ketiadaan kawalan yang cukup dari segi undang-undang membolehkan pengguna internet berbuat sesuka hati.

“Etika di media sosial tidak terikat kepada undang-undang dan hanya bergantung kepada kawalan diri, namun ia amat longgar.

“Justeru, kerajaan perlu memperketatkan dan melaksanakan undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI