SELEPAS dilancarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu, lagu Kendati nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan terus menjadi siulan pencinta muzik tanah air.
Lebih membanggakan Amylea apabila video lirik lagu yang menjadi lagu tema drama Takdir Yang Tertulis (TYT) yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini berada di kedudukan carta trending YouTube selama lebih tiga minggu. Video lirik lagu tersebut juga berjaya mencecah sejuta tontonan dalam tempoh tiga minggu.
Malah, siapa sangka lagu Kendati versi piano unplugged yang ditayangkan menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 15 Februari lalu turut menghuni carta trending.
Bukan dua, tetapi tiga versi lagu penyanyi itu berjaya mencuri perhatian termasuk yang terbaharu, Kendati versi lelaki gitar akustik yang dinyanyikan oleh Rian Shain yang berada di kedudukan 35 carta trending YouTube sejak dimuat naik pada 19 Februari lalu.
Amylea kehilangan kata-kata apabila mengetahui kesemua versi lagunya trending.
“Selepas dua hari dilancarkan menerusi YouTube, video lirik lagu ini trending selama tiga minggu berturut-turut walaupun kedudukannya turun naik. Paling tinggi, lagu ini pernah berada di kedudukan nombor sembilan. Pastinya ini satu pencapaian membanggakan buat saya. Mungkin orang lain sudah biasa, tapi luar biasa bagi saya.
“Versi piano unplugged juga trending. Saya rasa sangat luar biasa sebab kebiasaannya versi ini seperti nyanyian semula. Jadi, tidaklah orang begitu berminat untuk menonton video seperti ini. Ibarat satu magik apabila semua versi trending pada masa yang sama. Ini nikmat terbesar kurniaan Allah. Memang bersyukur sangat sebab berlaku di luar jangkaan.
“Saya berasa kaku dan tak terkata. Ramai mesej sampai tidak tahu nak balas yang mana dulu. Macam rasa seperti terkena serangan panik pun ada sebab kaki dan tangan tiba-tiba rasa kebas. Rasa sangat tak percaya,” katanya.
Pada masa sama, Amylea juga mengakui bangga dan gembira apabila lagu Kendati semakin diterima baik.
“Saya fikir lagu ini bukan cup of tea atau cita rasa peminat Malaysia. Tak pernah pun saya menjangkakan sambutan hebat begini. Saya bangga dan gembira apabila peminat muzik sudah mula memberi peluang dan buka mata untuk lagu berentak balada seperti ini.
“Mereka sudah ‘masuk’ dan menjiwai muzik yang berbeza walaupun dalam kategori balada. Sekali gus memberi lebih banyak warna dalam industri muzik tanah air dan menyuntik semangat kepada penyanyi untuk berkarya.
“Penerimaan sebegini juga memberi suntikan semangat untuk penyanyi balada mencuba bunyi yang sedikit berbeza sebab peminat sudah menerima kepelbagaian muzik dalam sesebuah genre,” katanya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 35 tahun itu berkata, dia kini dalam proses menghasilkan beberapa buah lagu untuk penyanyi lain.
“Sekarang saya sedang fokus menyiapkan lagu untuk penyanyi lain. Sejujurnya, saya teruja dengan semua lagu yang akan dilancarkan nanti. Insya-Allah, ada beberapa buah lagu sudah boleh diperdengarkan kepada peminat pada awal bulan ini.
“Paling awal, lagu Kita Sama nyanyian Fatin Faishal. Secara peribadi saya sangat jatuh cinta dengan lagu ini, sebab itu saya letakkan 100 peratus usaha dalam proses menyiapkannya. Sebab lagu ini menunjukkan sisi berbeza saya sebagai komposer yang orang tidak pernah tahu,” katanya.