IPOH – Tidak wujud unsur potong giliran dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Perak yang bermula hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, proses pemberian vaksin kepada pemimpin kerajaan negeri dan petugas barisan hadapan pada hari ini sebaliknya berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita sudah ada jadual pemberian vaksin di Perak. Bagi saya, tiada masalah untuk Menteri Besar dan barisan sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri untuk menerima vaksin bersama 210 petugas barisan hadapan yang lain.
“Bagi saya ia adalah adil. Saya hormat kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan ia bukanlah satu arahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Turut menerima suntikan sama sepuluh Exco kerajaan negeri dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming.
Kosmo! Online semalam melaporkan, isu dakwaan potong barisan dalam proses mendapatkan vaksin Covid-19 mendapat perhatian kerajaan.
Sementara itu, Saarani berkata, Perak menerima sebanyak 22,230 dos pertama bekalan vaksin pertama program imunisasi tersebut.
“Seramai 39,760 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin yang dijangka selesai pada hujung April ini,” katanya.-K!ONLINE