PETALING JAYA – Rungutan masyarakat berhubung polisi pusat beli-belah yang masih menutup beberapa fasiliti penting pengunjung seperti ruang surau untuk ibadah bagi mengekang penularan virus Covid-19 seiring pelaksaan Perintah Kawakan Pergerakan (PKP) masih berlanjutan di beberapa buah negeri.
Terbaharu, pelakon dan juga penyanyi Lufya Omar meluahkan reaksi kurang senang berhubung itu tersebut dan mendakwa dia terpaksa menunaikan solat di hadapan lif kerana surau di sebuah pusat beli-belah ditutup.
Menerusi perkongsian dalam Instagramnya, pelakon drama Umairah itu memuat naik sekeping gambar dia berada di hadapan sebuah lif dalam keadaan bertelekung.
Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, turut mempersoalkan mengapa pelbagai kemudahan dan perniagaan lain dibenarkan beroperasi tetapi tidak untuk rumah ibadah.
“Rasa sedih sangatlah macam ini. Kita sudah tidak dalam fasa PKP lagi tetapi surau pun masih ditutup. Pergi surau di stesen minyak juga tutup.
“Pusat beli-belah yang elit pun sama. Tiada tempat untuk tunaikan solat, ditutup. Bila tanya pekerja Islam pun tidak tahu di mana hendak solat, akhir sekali solat di tempat tercorot depan lif,” kongsinya dalam perkongsian tersebut.
Pada masa sama, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu turut berpendapat penutupan rumah ibadah akan menjauhkan umat Islam dengan Tuhan.
“Macam ini punya cara, makin menjauhkan umat Islam dengan Tuhan.
“Bukankah sepatutnya dalam waktu kesulitan inilah kita perlu banyakkan muhasabah diri dan perbanyakkan majlis-majlis agama serta solat hajat,” luahnya lagi.
Ini bukan kali pertama selebriti tanah air mempersoalkan tentang isu berkenaan kerana sebelum ini, penyanyi Nubhan juga pernah menyuarakan ketidakpuashatian surau pusat beli-belah ditutup sehingga terpaksa menunaikan solat dalam bilik persalinan sebuah butik pakaian. – K! ONLINE