TUMPAT – Seorang kanak-kanak terpaksa melupakan hasratnya untuk memasuki alam persekolahan selepas dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak tiga tahun lalu.
Penyakit itu menyebabkan Noor Aleeya Syahliana Mat Zaid, 9, perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidupnya apabila kedua-dua buah pinggang sudah tidak lagi berfungsi.
Setiap pergerakan Noor Aleeya kini dibantu oleh ibunya, Che Fatimah Sulaiman, 39, dan bapanya, Mat Zaid Adam, 46.
Mat Zaid berkata, pergerakan anak ketiga daripada empat beradik itu juga agak terbatas disebabkan oleh penyakit tersebut sehingga dia tidak boleh melakukan aktiviti hariannya.
“Saya sedih melihat penderitaan anak saya. Dia tidak lagi mampu berdiri dan berjalan dalam tempoh lama, malah berat badannya semakin susut ditambah pula kedua-dua belah matanya semakin kabur.
“Anak saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak berusia tujuh tahun. Sehingga kini, dia perlu menjalani rawatan hemodialisis air di rumah dengan segala kelengkapan dibekalkan oleh Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Tujuh di sini semalam.
Menurut Mat Zaid yang bekerja sebagai mekanik, Noor Aleeya perlu menjalani rawatan hemodialisis air selama empat hingga enam jam sebelum diganti dengan cecair dialisis baharu sebanyak empat kali sehari.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang diketuai oleh Ketua Unit Media dan Komunikasinya, Akidi Hamid.
Dalam kunjungan itu, Akidi turut menyerahkan sumbangan wang tunai, susu dan lampin pakai buang bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.
Menurut Mat Zaid, sebelum doktor mengesahkan Noor Aleeya Syahliana menghidap penyakit buah pinggang kronik, anaknya itu demam berpanjangan selama seminggu selain mukanya juga pucat sebelum dirujuk ke HRPZII untuk rawatan lanjut.
“Pada mulanya, doktor memaklumkan bahawa Noor Aleeya, demam disebabkan jangkitan kuman.
“Selepas itu, dia dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik melalui ujian imbasan x-ray,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 1530-9200-4538 atas nama Mat Zaid Adam atau boleh menghubunginya di talian 014-6316075.