PETALING JAYA – Pelakon Risteena mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan tunangnya, Isa Khan pada bulan ini.
Risteena ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun enggan memperincikan tarikh sebenar pernikahannya yang bakal dilangsungkan nanti.
“Saya akan perincikan tentang tarikh perkahwinan dalam tempoh sehari dua lagi.
“Masih terlalu awal untuk saya bocorkan tarikh perkahwinan. Tapi, betul kami akan berkahwin bulan ini. Jangan risau saya akan maklumkan kepada semua orang nanti termasuk rakan media,” katanya.
Semalam, Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, memberi bayangan bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat menerusi video yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Dalam video tersebut, Risteena yang mengunjungi sebuah salon rambut ditemani tunangnya yang juga pelakon, Isa Khan.
Pada ruangan kapsyen, pelakon drama Cinta Teruna Kimchi itu berkata dia sedang menghitung hari untuk bergelar isteri kepada Isa.
“Sweetnya (manisnya) tunggu buat rambut berjam-jam lamanya. Tak pergi mana-mana pun, duduk diam sahaja di situ.
“Nanti lepas kahwin pun tolong macam ini okey!,” tulisnya.
Sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat berikutan penularan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pasangan selebriti itu mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia. – K! ONLINE