KOTA BHARU – Polis Kelantan menempatkan seramai 662 anggota di setiap sekolah di seluruh Kelantan bermula hari ini untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) murid-murid dan ibu bapa di sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 240 pegawai dan anggota di tempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) manakala 422 lagi di Sekolah Rendah (SK).
“Pemantauan akan dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Pemantauan hari ini melibatkan murid prasekolah, tahun satu dan dua sahaja. Bagi murid tahun tiga, empat, lima dan enam pula, pemantauan akan dilakukan pada 8 Mac ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Shafien, pihaknya akan menempatkan anggota polis di SMK seluruh negeri Kelantan bermula 4 April depan.
Katanya, sehingga kini, seramai 262 pegawai kanan polis dan 1,916 pegawai rendah telah dilantik sebagai perhubungan untuk memantau kawasan sekolah di Kelantan.
Tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah di sini ini mendapati kebanyakan ibu bapa dan murid mematuhi SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka selain melakukan penjarakan fizikal.-K!ONLINE