fbpx

Mickey dan Minnie Mouse sambut murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kehadiran murid tahun satu dan dua ke Sekolah Kebangsaan Batu Berendam disambut meriah oleh dua maskot Mickey dan Minnie Mouse hari ini.

MELAKA – Kedatangan seramai 229 murid tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, di sini disambut ceria dua maskot Walt Disney, Mickey dan Minnie Mouse sebagai semangat memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan Kosmo! di sekolah mendapati rata-rata murid tiba di pekarangan sekolah bermula pada pukul 7 pagi ditemani ibu bapa yang dibenarkan menghantar anak masing-masing sehingga di pagar masuk sekolah sahaja.

Seorang bapa, Mohd. Shari Abd. Rahman, 39, berkata, anak bongsunya itu Nur Muliana Insyirah, 7, sangat teruja untuk memulakan alam persekolahan dan memakai baju sekolah yang telah dibelinya pada Disember tahun lalu.

“Anak saya (Nur Muliana) bangun seawal pukul 6.30 pagi tadi untuk bersiap ke sekolah dan sangat teruja untuk memakai baju sekolah yang telah lama dibeli.

“Kami bergerak dari rumah di Kampung Gangsa, Durian Tunggal kira-kira pukul 7 pagi dan terkejut apabila kedatangan kami disambut dengan maskot Mickey dan Minnie Mouse,” katanya sambil tersenyum.

Mohd. Shari yang merupakan bapa tunggal anak empat berkata, dia juga sempat berpesan kepada anaknya agar tidak terlalu leka bermain bersama kawan-kawan sehingga tertanggal pelitup muka dan sering menggunakan cecair pembasmi kuman yang dibekalkan.

Sementara itu, Syamsul Khairee Anuar, 37, yang menghantar anaknya di SK Bukit Beruang berkata, suasana persekolahan untuk murid tahun satu ternyata berbeza berbanding sebelumnya apabila ibu bapa tidak dapat menemani anak masing-masing pada hari pertama persekolahan.

“Biasanya kita dapat lihat suasana ibu bapa turut sama berada di dalam atau di luar kelas, namun kali ini kami hanya dibenarkan berdiri di luar pagar sekolah bagi mematuhi SOP ditetapkan.

“Kira-kira seramai 10 orang guru dan pegawai perhubungan sekolah (PPS) turut berada di pagar sekolah untuk memantau pematuhan SOP oleh para murid,” katanya yang menghantar puteri sulungnya, Feeya Durrani.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Hedzir Hussin berkata, sebanyak 238 buah sekolah dibuka di seluruh Melaka hari ini bagi sesi persekolahan murid darjah satu dan dua.

“Bagi pembukaan sekolah ini, pihak kami telah melaksanakan pemantauan SOP dan Program Hari Pertama di Sekolah dengan lebih 230 PPS terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah berada di setiap sekolah.

“Pemantauan SOP dilakukan pihak polis dan sekolah ini dibuat bagi meningkatkan usaha disiplin serta tingkah laku pelajar untuk mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya ketika sidang media di SK Batu Berendam, di sini, hari ini.

Untuk rekod, seramai 14,589 murid tahun dan 13,900 murid tahun dua memulakan sesi persekolahan di negeri ini, hari ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI