PUTRAJAYA – Malaysia akan terus berusaha untuk mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan negara-negara berkepentingan dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laluan RGL itu termasuklah dengan China termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan, Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand serta Vietnam.
“Bagi memudahkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia, kerajaan akan meneruskan usaha secara menyeluruh bagi mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara-negara yang berpotensi.
“Inisiatif gelembung perjalanan ini penting untuk mengaktifkan kembali kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dan seterusnya mempercepat pertumbunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, Malaysia sebelum ini telah merumuskan perjanjian RGL bersama Singapura pada tahun lalu.
Katanya, di peringkat serantau pula, Deklarasi ASEAN mengenai pembentukan ASEAN Travel Corridor Arrangement (TCA) telah diterima pakai oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-37 pada bulan November tahun lalu.
“Inisiatif ini akan membantu memudahkan perjalanan semula intra-ASEAN dan seterusnya mampu mengaktifkan semula industri perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan intra-ASEAN yang telah terjejas disebabkan pandemik Covid-19,” katanya. -K! ONLINE