PASUKAN Kuala Lumpur United FC (KLUFC) masih belum boleh mendabik dada meskipun berjaya melakar kemenangan moral dengan menewaskan seteru tradisi, Selangor FC pada aksi pramusim Liga Malaysia (Liga M) semalam.
Pada saingan melibatkan perebutan Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan sebelum KLUFC berjaya menang 4-2 hasil penentuan sepakan penalti.
Ketua jurulatih KLUFC, Bojan Hodak mengakui cukup berpuas hati dengan tahap kecergasan barisan pemainnya selepas menjalani latihan kompetitif serta beberapa siri aksi persahabatan menjelang aksi pembuka tirai Liga Super pada Sabtu ini.
“Melihat dari aspek fizikal dan tahap kecergasan pemain, saya sangat berpuas hati dengan apa yang mereka berikan sepanjang perlawanan ini dan percaya mereka sudah bersedia untuk mengharungi aksi Liga Super.
“Namun, bagi aspek taktikal dan teknikal masih banyak ruang yang perlu diperbaiki kerana ada beberapa kelemahan ketara seperti persefahaman dalam kalangan pemain masih belum jitu.
“Malah, penyudah daripada jentera serangan kami juga agak tumpul tetapi perkara positif yang kami boleh ambil adalah benteng pasukan tidak dibolosi,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Skuad KLUFC yang merupakan pendatang baharu dalam kancah Liga Super selepas menjadi naib juara Liga Premier musim lalu akan menentang Penang FC pada aksi pembuka tirai di Stadium Bandaraya, George Town pada Sabtu ini.