PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat langkah-langkah tambahan yang akan dirangka kerajaan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pertamanya kerajaan akan menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.
Menurutnya, kerajaan seterusnya akan meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketiga, memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi.
“Ini supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, dalam langkah tambahan itu juga, kerajaan akan memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan.
Katanya, ini selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi. -K! ONLINE